Woon Pak Seong (kanan) dan Eksekutif
Profesional Hal Ehwal Malaysia Hoya Lens Sdn. Bhd., Chong Zhi Lee
(tengah) menunjukkan jarak ideal antara mata dan peranti digital yang
digunakan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
KANAK-KANAK hari ini menghabiskan banyak masa terluang mereka dengan
menonton televisyen atau bermain peranti digital seperti tablet dan
telefon bimbit tanpa menyedari perkara tersebut boleh merosakkan mata
dan penglihatan mereka.
Pakar Optometrist dari Vision Space Optometrist,
Woon Pak Seong,
berkata, walaupun kebanyakan kes berkaitan penglihatan terutamanya
rabun adalah disebabkan faktor genetik, kecenderungan kanak-kanak
terhadap permainan berbentuk visual seperti yang terdapat pada peranti
digital juga antara penyebab utama kerosakan penglihatan.
"Selain tempoh masa menggunakan peralatan digital, jarak antara
subjek dengan mata serta pencahayaan juga memainkan peranan bagi
membantu penjagaan mata," katanya pada bengkel
Mendapatkan Penjagaan Penglihatan Lebih Baik bagi Kanak-Kanak, di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bengkel setengah hari anjuran KidZania Kuala Lumpur dengan kerjasama
Malaysian Hoya Lens Sdn. Bhd. itu, khusus bagi kanak-kanak era ini yang
tinggal dalam persekitaran digital.
Menurut Pak Seong, jarak ideal bagi seorang kanak-kanak yang sedang
menggunakan tablet untuk menonton video dan sebagainya dengan peranti
tersebut adalah dalam lingkungan 30 sentimeter.
Begitu juga ketika sedang membaca buku dan televisyen, kerana cahaya
memainkan peranan penting bagi mengelakkan kerosakan pada mata.
Menurutnya lagi, penggunaan cahaya lampu siang hari
(day light) adalah yang terbaik bagi tujuan pembacaan di dalam rumah.
"Masyarakat hari ini lebih cenderung menggunakan lampu malap yang
cahayanya berwarna kuning bagi hiasan dalaman rumah, tanpa menyedari
yang lampu berkenaan sebenarnya boleh merosakkan penglihatan terutamanya
kanak-kanak," katanya.
Selain itu menurut Pak Seong, , pancaran cahaya biru yang dikeluarkan
oleh peranti digital turut menyumbang kepada gejala seperti keletihan
mata.
Ini seterusnya menyebabkan seseorang menjadi rabun jika tidak menggunakan cermin mata yang dapat menapis cahaya tersebut.
Bertemakan
Mata dan Anda, bengkel tersebut turut memberikan
panduan dan tip praktikal mengenai penjagaan mata serta kepentingannya,
kepada lebih 50 kanak-kanak serta ibu bapa yang hadir.
Selain itu para peserta juga dididik mengenai tip pemakanan bagi
mengekalkan mata yang sihat serta diberikan panduan mengenai pemeriksaan
mata yang betul.
Sementara itu, Pengurus Besar KidZania Kuala Lumpur,
Susanah Abdul Rani
berkata, pihaknya berbesar hati dapat memberikan satu pengalaman
menyeronokkan kepada kanak-kanak yang turut serta dalam bengkel itu.
Katanya, program tersebut turut mendedahkan peserta tentang
penggunaan minimum peranti digital dengan merasai sendiri aktiviti yang
ditawarkan di taman tema kanak-kanak itu.
"Dalam era digital hari ini, penggunaan alatan digital tidak dapat dielak sama ada untuk tujuan hiburan mahupun pelajaran.
"Sebagai sebuah taman tema untuk kanak-kanak, menjadi tanggungjawab
kami untuk memberikan pendidikan dan maklumat yang akan memberi kuasa
kepada kanak-kanak untuk gaya hidup lebih sihat," ujarnya.
Bengkel tersebut adalah salah satu acara dalam siri bengkel khusus
untuk ibu bapa dan kanak-kanak yang dianjurkan oleh KidZania Kuala
Lumpur.
Ia bertujuan untuk menyediakan satu pengalaman yang holistik, bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga kepada ibu bapa.
Pada bengkel yang sama, Malaysian Hoya Lens Sdn. Bhd. turut
melancarkan kempen terbarunya, Vision 6/6, yang memberikan peluang
kepada orang ramai menyumbangkan bingkai cermin mata terpakai bagi
diagihkan kepada rumah anak-anak yatim dan warga tua di seluruh negara.
PERINGATAN: Pihak moderator blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri