
PUTRAJAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
mencadangkan khidmat pengawal keselamatan di semua pejabat kerajaan
digantikan dengan khidmat polis bantuan bagi mengelak perkara tidak
diingini berlaku.
Sambil berharap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa
menimbangkan cadangan itu, beliau berkata langkah itu wajar terutama di
pusat pentadbiran Putrajaya yang turut menempatkan pejabat menteri yang
menyimpan banyak dokumen rahsia kerajaan.
“Saya risau jika pengawal keselamatan di ‘outsource’, mereka akan
mempunyai kunci pendua pejabat dan pelbagai perkara boleh dilakukan oleh
mereka, oleh (itu) kita mahu pastikan perkara-perkara yang tidak
diingini tidak berlaku,” katanya.
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian kepada
pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai di sini hari
ini.
Katanya beliau turut mengusulkan cadangan kepada anggota Kabinet agar
syarikat-syarikat keselamatan diambil alih oleh kerajaan agar
kakitangannya dapat dilatih sebagai polis bantuan.
Beliau turut meminta syarikat keselamatan lebih bertanggungjawab
dalam pengambilan pengawal keselamatan supaya kejadian rompakan dan
menembak mati pegawai bank di Ambank, Subang Jaya baru-baru ini
melibatkan pengawal keselamatan bank itu sendiri tidak berulang.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan memberitahu pihaknya telah
memberi satu taklimat kepada Brunei Investment Agency mengenai pelan
pembangunan di Kampung Baru di Kuala Lumpur.
“Kita juga telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru untuk
menghantar satu pasukan ke Brunei bagi berbincang dengan pihak mereka
untuk bersama-sama membangunkan kampung tersebut,” katanya.
Sementara itu, Tengku Adnan turut memaklumkan dua lokasi di Putrajaya
telah dikenal pasti menjadi tempat saki-baki kumpulan Al-Arqam
menyebarkan ajaran mereka.
“Dua tempat berkenaan ialah di klinik dan surau yang kini sedang
dipantau oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan saya menyarankan
agar orang ramai berhati-hati dengan aktviti penyebaran ajaran sesat
itu,” katanya.
Mengenai kadar baru cukai pintu di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata
satu mesyuarat akan diadakan esok dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur
Datuk Seri Ahmad Phesal Thalib dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,
dan akan memastikan kadar baru berkenaan tidak membebankan rakyat dan
adil kepada pemilik hartanah.
PERINGATAN: Pihak moderator blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri