Tindakan terhadap majikan gagal laksana gaji minimum, Ditentukan tahun depan – Riot

KUALA
LUMPUR — Menteri Sumber Manusia berkata sebarang tindakan terhadap
majikan yang gagal melaksanakan Dasar Gaji Minimum akan ditentukan, pada
1 Jan tahun depan.
“Kita tunggu sehingga selesai pelaksanaan sepenuhnya dahulu sebelum
kita mula tentukan bentuk tindakan,” katanya kepada pemberita selepas
menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kolektif ke-11 antara
Genting Malaysia Berhad dan Genting Malaysia Berhad Workers Union di
sini Selasa.
Beliau berkata Majlis Perundingan Gaji Negara pada masa ini, yang
dibantu Jawatankuasa Teknikal Perundingan, sedang membuat kajian tentang
permohonan penangguhan yang dikemukakan beberapa majikan.
“Majikan yang memohon penangguhan, kita akan teliti. Jika alasan
boleh diterima, kita akan benarkan (penangguhan), jika tidak kita akan
tolak,” katanya.
Riot juga berkata bagi majikan yang tidak membuat sebarang permohonan
untuk penangguhan, ia dianggap sebagai telah sedia menerima dan
melaksanakan dasar tersebut.
Menyentuh mengenai perjanjian kolektif antara Genting Malaysia Berhad
dan persatuan pekerja syarikat itu yang melibatkan hampir 7,000 pekerja
hotel Genting Malaysia Berhad, Riot berkata di bawah perjanjian
tersebut, mereka akan dibayar gaji berdasarkan struktur gaji minimum
setelah pelaksanaan gaji tersebut ditangguh selama sembilan bulan,
sehingga semalam (30 Sept).
“Majikan dan wakil kesatuan bersetuju untuk mengambil pendekatan
sistem ‘clean wages’ di mana caj perkhidmatan akan distrukturkan sebagai
sebahagian gaji minimum yang memberi kesan positif jangka panjang
kepada golongan pekerja,” katanya.
Beliau berkata ini dapat dilihat dari aspek pembayaran lebih tinggi
bagi kerja lebih masa, kerja waktu cuti umum, bonus tahunan, caruman
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), caruman Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) dan kadar premium untuk insurans kemalangan serta faedah
lain.
Malah kesatuan sekerja Genting Malaysia Berhad turut mengadakan
referendum di kalangan anggotanya untuk mendapat pandangan mereka
sebelum bersetuju dengan sistem gaji minimum itu, tambahnya.
Dasar Gaji Minimum yang dilancarkan kerajaan pada 1 Jan lepas melalui
Perintah Gaji Minimum 2012 menghendaki majikan membayar gaji pokok
RM900 bagi Semenanjung dan RM800 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
Dasar berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada
sambutan Hari Buruh 1 Mei 2012 dengan kadar gaji minimum sektor swasta
di Semenanjung ditetapkan RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi
Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan
atau RM3.85 sejam.
Kadar gaji minimum itu telah dilaksanakan pada 1 Jan lepas, namun
kerajaan telah membenarkan penangguhan pelaksanaannya bagi sektor
perhotelan, sehingga 30 Sept 2013.
– BERNAMA