Apakah hukum Menikahi Wanita Yang Hamil?
Apa hukumnya menikahi wanita yang sedang hamil (luar nikah). Benarkah
jika seorang lelaki menikahi wanita yang hamil terlebih dahulu hukumnya
tidak sah dan harus menikah sekali lagi jika anak yang di kandung sudah
lahir? (sesudah anak berusia 40 hari).
Apakah status anak itu kerana setahu saya anak tersebut tidak boleh
dibinkan menurut nama si ayah dan jika anak itu perempuan maka si ayah
tidak boleh menjadi wali.
Jawapan:
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami, hukum tidak
sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan
luar nikah atau diistilahkan sebagai ‘zina’ dalam bidang fikah adalah
fatwa mazhab Maliki.
Namun tidak disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti
berusia 40 hari atau lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.
Mazhab ini mensyaratkan lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana
wanita yang terlibat dengan zina perlulah memastikan rahimnya suci
terlebih dahulu. Caranya, dengan menunggu sehingga tempoh tiga kali
datang bulan (haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan dari saat terakhir
dia melakukan zina (al-istibra’).
Jumhur ulama bersepakat mewajibkan istibra’ demi menjaga kesucian susur
galur keturunan kerana ia akan melibatkan status anak sah taraf atau
tidak untuk dibinkan kepada suami yang dikahwini setelah zina berlaku,
kemudian masalah wali kahwin bagi anak perempuan dan masalah pewarisan
harta dari segi hukum-hakam Islam.
Jika syarat ini diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya
dihukumkan fasid atau rosak yakni tidak sah di mana perpisahan
dihukumkan wajib bagi pasangan tersebut; sama ada zahir pada wanita itu
tanda-tanda hamil atau tidak.
Jika wanita itu didapati mengandung hasil hubungan zina, maka
istibra’nya ialah kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum
wanita itu bersalin berdasarkan hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia
menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang
hamil bukan dari benihnya). (riwayat Abu Daud dan juga oleh al-Tirmizi
yang menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz ‘anak orang lain’).
Termasuk satu lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita
tawanan perang Awtas susulan daripada peperangan Hunain yang
dibahagi-bahagikan kepada para pejuang yang bermaksud: “Tidak disetubuhi
seorang wanita hamil itu sehingga bersalin”.
Syarat ini juga digunapakai dalam mazhab Hanbali terutamanya bagi lelaki
yang telah mengetahui status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam
Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: “Janganlah sekali-kali seorang lelaki
menyetubuhi seorang wanita yang hamil bukan dari benihnya”.
Syarat tambahan mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha
terhadap dosa besar yang telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya
daripada hukum asal al-Quran ke atas penzina:Lelaki yang berzina tidak
boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan
musyrik; dan perempuan yang berzina pula tidak boleh berkahwin melainkan
dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang
demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman. (al-Nur: 3)
Lebih-lebih lagi jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang diisyaratkan di akhir ayat tersebut.
Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Seseorang yang benar-benar
bertaubat daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang
suci daripada segala dosa”.
Kemudian baginda membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah
ayat 222:Sesungguhnya Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka
bertaubat dan sentiasa menjaga kesucian.
Sementara mazhab Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki
yang mengahwini seorang wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain
jika dapat dipastikan wanita itu tidak hamil.
Jika wanita itu hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak
boleh menyetubuhi wanita itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat
23-24 dari surah al-Nisaa’ yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita
yang haram dinikahi:
Telah diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan
yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan
kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara
perempuan daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu
susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri
kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang
telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu
menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin
dengan anaknya).
Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak
lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan
diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik
sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada
masa lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang
masih berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki.
(Hukumnya haram ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan)
ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain
daripada yang disebut (di atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan
memperisterikannya dengan harta kamu dengan menikahinya secara yang sah,
bukan secara berzina… (an-Nisaa’: 23 dan 24).
Pendapat ini dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan
perlakuan zina wanita yang telah berkahwin: Anak yang dilahirkan itu
bagi empunya kamar tidur (iaitu hak suami yang sah), dan batu bagi
penzina (rejam). Ia menggambarkan bahawa air mani penzina tidak
mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.
Mazhab ini bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang
mengharamkan persetubuhan kepada lelaki yang mengahwini wanita yang
mengandung bukan dari benihnya. Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan
hadis yang sama: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat
maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain.
(Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya)”. (riwayat Abu
Daud).
Mazhab Syafie pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita
yang menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.
Perbuatan haram mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan
pernikahan yang sah di mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh
jumhur ulama.
Nasab Bayi
Menurut fatwa jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan
berkahwin, maka anak itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.
Jika kurang dari tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya
kecuali dia berkeras mengaku bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada
bukti jelas ia adalah hasil daripada hubungan zina terutamanya dalam
menjaga maruah seorang Muslim.
Tempoh minimum enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di
mana pada masa pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang
melahirkan anak setelah enam bulan mengandung.
Dia telah dibawa menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan
menjalani hukum rejam. Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali
lalu beliau berkata: Wanita itu tidak sepatutnya direjam.
Kata-kata beliau akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus
menghantar utusan bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.
Saidina Ali terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang
bermaksud: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga
genap tempoh dua tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses
penyusuan…. Kemudian beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang
bermaksud: Dan tempoh mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya
mengambil masa selama 30 bulan….
Perbezaan kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan – 24 bulan bersamaan dengan 6 bulan).
Jadi, kelahiran itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian,
mereka telah membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.
Hanya status undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh
berbinkan suami kepada wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya
tidak boleh berwalikannya.
Menurut fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10
Jun 2003 penjelasan istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti
berikut:
Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;
Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah
dari waktu akad nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil
daripada persetubuhan syubhah; dan
Anak yang dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah
Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa
anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka
yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang
daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat
mengikut hukum syarak seperti proses li’an.