Pages

Saturday, October 5, 2013

Hormatilah kehadiran Obama



Published On: Sat, Oct 5th, 2013
Hormatilah kehadiran Obama
imagePercayalah dengan sesungguhnya, Nabi telah mencoretkan gambaran hubungan diplomatik – dengan negara kota dan negara bangsa – yang sangat indah di atas kanvas sejarah manusia. Keadilan, kemuliaan dan janji dikota adalah dasar kepada hubungan yang Rasulullah SAW jalinkan, hatta termasuk negara-negara kufar yang menjadi musuh Baginda.
Antara kebijaksanaan Nabi yang mendapat bimbingan langsung daripada Tuhan yang mencipta Adam as dengan tangan kanan-Nya adalah persetujuan negara kota Madinah menandatangani Perjanjian Hudaibiyah pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah.
Duta negara kafir Makkah – Suhail bin Amr – datang berjumpa Nabi di sebuah kawasan bernama Hudaibiyah bagi menandatangani sebuah perjanjian yang akhirnya dinamakan sempena tempat tersebut. Mulanya ada beberapa sahabat melihat perjanjian tersebut sebagai merugikan Muslimin dan berat sebelah.
Tetapi kesan positif daripada perjanjian ini hanya tampak dalam jangka waktu panjang, yang hujungnya menyebabkan berlaku peristiwa ‘Fathul Makkah’ iaitu negara kota Makkah dikuasai oleh Rasulullah SAW tanpa ada darah terpercik; yang akhirnya umat manusia masuk Islam secara berbondong-bondong.
Pewujudan jawatan safarah
Selepas Nabi menurunkan tandatangannya dalam Perjanjian Hudaibiyah inilah maka negara kota Madinah mula menghantar duta-duta atau diplomat. Jawatan ini diistilahkan sebagai safarah. Dahulu dalam sistem Mala’ (mirip demokrasi Athens) yang diamalkan oleh Kota Makkah, para safarah selalu dilantik daripada Bani ‘Ady dan yang terkenal sebagai duta adalah Umar Al Khattab.
Sementara zaman sebelum kelahiran Baginda, Abdul Mutallib merupakan tokoh Quraisy yang sering diangkat menjadi duta, termasuk diutus berunding dengan Abrahah.
Antara senarai duta ialah Dihya bin Khalifah Al Kalbi diutus menghadap Heraklius di Rom sementara Abdullah bin Huzafah Al Sahimi diarah untuk menghadap Maharaja Khosrau II di Parsi. Hatib bin Abi Batla’ah dikirim ke Mesir untuk menghadap Mukaukis sementara Amr bin Umayyah Ad Dhamri dihantar untuk menghadap Musailamah bin Habib di Yamamah.
Jaminan imuniti
Bersamaan dengan pewujudan jawatan safarah ini, Nabi juga menetapkan aturan dan hukum yang bersangkutan. Paling penting hak seorang duta adalah jaminan keamanan atau disebut sebagai imuniti. Sumber-sumber banyak menunjukkan, duta-duta kerajaan Makkah dan kerajaan Bani Hanifah yang dipimpin Musailamah mendapat jaminan keamanan dan penghormatan.
Direkodkan dalam Sunan Ad Daarimi, dua duta yang dikirim Musailamah Al Kazzab datang ke Madinah untuk berunding. Delegasi tersebut dengan lantang berkata kepada Nabi: “Kami bersaksi bahawa Musailamah adalah utusan ALLAH” maka Rasulullah SAW bersabda “Sekiranya para duta boleh dibunuh pasti aku akan membunuh kalian berdua” (Sunan Ad Daarimi). Melalui kisah ini juga para ulama Ahlul Sunnah menyimpulkan, duta-duta dan seluruh deligasi dari sesebuah negara yang memasuki negara Islam dalam rangka berunding atau lawatan kerja akan diberi jaminan keamanan.
Natijahnya adalah hak imuniti ini dinikmati oleh semua utusan secara mutlak tanpa melihat apakah mereka ini dari negara musuh atau sekutu. Inilah yang diungkapkan oleh Ibnu Qayim setelah beliau berdalil dengan ucapan Nabi: “Aku tidak menangkap utusan”. (Zaadul Ma’ad oleh Ibnu Qayyim)
Ketika Perjanjian Hudaibiyah dicabuli oleh Negara Kota Makkah, mereka menghantar Abu Sufyan sebagai wakil untuk berunding dan memeterai perjanjian baharu. Sementara itu di Madinah pula, Rasulullah SAW bersabda kepada rakyatnya: “Sepertinya kalian akan melihat Abu Sufyan. Dia datang untuk memperbaharui perjanjian dan menambah waktunya” (rujuk Zaadul Ma’ad)
Hak duta
Sampai sahaja Abu Sufyan di Kota Madinah, maka dia bergegas menuju ke rumah anaknya Ummu Habibah, salah seorang Ummul Mukminin. Melihat Rasulullah SAW tiada di situ maka dia mencari Rasulullah SAW sehingga ketemu, namun ternyata Rasulullah SAW enggan untuk perbaharui perjanjian yang telah dimungkiri oleh Kerajaan Kita Makkah.
Tidak berputus asa kerana Abu Sufyan tahu tentera Makkah tidak akan mampu melawan kekuatan tentera Madinah, maka dia menemui Abu Bakar, Umar dan Ali dengan harapan mereka mampu memujuk Muhammad SAW. Tetapi tidak ada seorang sahabat pun yang menuruti permintaan Abu Sufyan. Cuma Ali mencadangkan kepada Abu Sufyan supaya menuju ke Masjid Nabawi lalu mengisytiharkan perlindungan kepada penduduk Makkah. Hasilnya Nabi memberi jaminan keamanan kepada penduduk Makkah yang berlindung di dalam rumah Abu Sufyan.
Daripada paparan di atas, kita boleh perhatikan bahawa ketika duta kerajaan kafir harbi yang terang-terang memusuhi Islam datang menghadap Nabi, mereka diperlakukan dengan baik dan penuh hormat. Renunglah bagaimana duta Musailamah dan duta Makkah seperti Suhail bin Amr dan Abu Sufyan datang bertemu Rasulullah SAW, para sahabat tidak memaki hamun dan merendahkan maruah mereka. Jauh sekali para sahabat berkumpul lalu berteriak sebagai seorang demonstran jalanan!
Lebih jelas lagi kisah Abu Sufyan yang dipaparkan; dia diterima masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW oleh Ummul Mukminin. Dia diberi saranan oleh Ali bin Abi Talib, sehingga dia berbicara di masjid Nabi tanpa dihina oleh para sahabat.
Imam Ibnu Majah menyatakan, Nabi sangat menghormati para delegasi sehingga berkata: “Ketika datang seseorang yang dihormati dari suatu kaum kepada kalian maka muliakanlah dia”. Dalam hal menghormati mereka juga termasuk menghormati agama mereka dengan membenarkan para utusan menjalankan ibadah sepertimana kisah duta Kristian dari Najran yang beribadah di Masjid Nabi (rujuk Ibnu Saad dalam Tabaqat).
Nabi juga menunjukkan sikap yang begitu agung ketika menerima kunjungan para duta. Baginda akan mengenakan pakaian yang indah dan kemas sepertimana dikatakan Imam Al Bukhari, sampaikan ada sahabat yang menghadiahkan baju cantik agar Rasulullah SAW mengenakan ketika sambut delegasi negara luar.
Kunjungan Obama dan sikap Muslimin
Begitulah aturan yang ditetapkan oleh syariat Islam dan telah dipraktiskan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat. Lalu ketika kita mendengar Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ingin mengunjungi negara kita maka apakah dalil yang membolehkan kita untuk mencaci maki serta berdemonstrasi terhadapnya?
Nyata dalil disandarkan hanya akal dan perasaan, tidak ada hadis dan atsar. Kalau adapun pasti bersifat umum sementara kisah dibentangkan di atas bersifat khusus; sehingga dalam kaedah fiqh menyebut dalil khusus perlu ditetapkan.
Lalu akhirnya perbuatan Nabi SAW bukan lagi menjadi pedoman kepada kaum Muslimin hari ini. Begitu juga pemahaman para sahabat terhadap agama Islam tidak lagi menjadi pemahaman yang diikuti walhal Rasulullah SAW bersabda tentang golongan yang selamat lagi lurus di atas Islam adalah golongan yang menjadikan “apa yang aku (Rasulullah SAW) dan para sahabat meniti di atasnya” (At Tirmizi)
Penghormatan inilah yang akhirnya menyebabkan seorang utusan negara kafir Makkah bernama Abu Rafi’ mengucapkan syahadah ketika melihat keunggulan dan kemuliaan umat Islam di Madinah (rujuk Sunan Abu Dawud). Justeru jika benar kita mencintai Nabi dan inginkan Islam dihormati maka ikutilah petunjuk Nabi dalam menghormati para duta dan delegasi mereka walaupun ia kafir.
*Penulis ialah Pengkaji Perbandingan Agama, Mazhab, Falsafah dan Tamadun

No comments:

Post a Comment