Oleh: RIDHUAN TEE ABDULLAH
Tarikh: October 14, 2013
SAYA harap
rakan saya berbangsa Melayu tidak salah faham membaca artikel ini. Saya
tidak memandang rendah kepada orang Melayu. Pada saya, semua bangsa
dijadikan ALLAH mempunyai kekuatannya tersendiri. Tiada istilah Melayu
malas, bangsa lain rajin dan sebagainya, sebagaimana
yang dipersepsikan. Semua bergantung kepada diri sendiri. Seperti kata
Pendeta Za’ba, rupa tidak boleh berubah, tetapi perangai boleh diubah.
Terpulang kepada kita, nak pilih yang mana!
Kebelakangan ini,
banyak sangat ‘kelemahan’ Melayu sama ada yang saya lihat sendiri atau
didedahkan. Saya yakin Melayu tahu dan memahaminya. Tetapi Melayu
sengaja membiarkannya. Dalam apa jua bidang, Melayu bermasalah. Dalam
politik, mereka saling tikam-menikam walaupun sesama parti. Saling
fitnah-memfitnah, jatuh-menjatuh dan sebagainya. Dalam ekonomi, saling
dengki-mendengki melihat orang lain berjaya. Bila tidak puas hati,
berlaku santau-menyantau. Mereka tidak faham falsafah korban, walaupun
tiap-tiap tahun menyambut Hari Raya Korban.
Pendek kata, dalam
apa jua profesion, Melayu bermasalah. Dalam perjawatan awam (juga
swasta), politik untuk naik pangkat,. Oouuhhh! dahsyat. Untuk mencapai
matlamat itu, kerjanya membodek sepanjang masa untuk naik, walaupun
kualiti kerja macam...
Itu belum sebut lagi masalah sosial yang
lain seperti gejala sosial remaja, dunia hiburan artis, dadah, dedah,
gejala tak solat, masalah keluarga, perceraian dan lain-lain.
Berdasarkan statistik, setiap 15 minit, akan lahir anak luar nikah dan
pasangan Melayu bercerai.
Mudah sahaja untuk menjadi popular di
negara ini. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi atau masuk universiti.
Cukup sekadar masuk industri hiburan, tonjolkan kontroversi atau masuk
pertandingan menyanyi, melawak, menonjol dalam sukan dan lain-lain
berkaitan. Popularlah.
Kenapalah Melayu pantang popular
sedikit? Usahkan diri empunya yang mungkin ‘popular’, mereka yang tidak
kena-mengena pun terasa popular seperti isteri atau suami artis popular
tersebut atau pegawai peribadinya. Maka menyombonglah tidak tentu pasal.
Kepopularan ini menjadi dia glamor. Artis-artis pun suka.
Maka mengoratlah mereka. Sanggup hadiahkan rumah berjuta-juta. Akhirnya,
kedua-dua jadi popular. Persoalannya, kenapa susah sangat nak cari
artis atau orang popular yang warak atau low profile. Kenapa hidup penuh
kontroversi. Tidak teringin ke masuk syurga? Takkan nak tunggu tua baru
nak bertaubat!.
Lebih pelik lagi, mereka inilah yang menjadi
rebutan syarikat swasta untuk menjadi duta sana sini. Peribadi duta-duta
produk tidak diambil kira, yang penting popular. Produk laku.
Terbaharu, dilema Melayu popular. Saya naik muak dan lemas menonton
YouTube mengenai gelagat isteri seorang pemain bola sepak terhadap
pengawal keselamatan di sebuah lapangan terbang. Ini baru bola sepak,
belum lagi bola lain.
Cuba banding dengan jaguh-jaguh negara
bukan Melayu seperti pemain badminton nombor satu dunia. Beliau amat
popular. Isterinya juga popular. Kedua-dua mereka berharta dan
kaya-raya. Kehidupan mereka tidak pula kontroversi. Bayangkan jika
pasangan itu orang Melayu.
Ingatlah Melayu, popular di sisi
ALLAH, kita bukan apa-apa pun jika tidak ada bekalan iman dan takwa.
Sepatutnya kita guna populariti itu untuk cari keredaan ALLAH,
menjadikan kelebihan itu untuk mendidik manusia jadi manusia, bukan
sebaliknya.
Berbeza dengan artis di Barat. Mereka amat popular,
bertaraf dunia lagi tetapi mereka tidak sombong, walaupun tidak Islam.
Kepopularan mereka digunakan untuk membaiki diri dan keluarga. Buat
bekalan di hari tua. Sebab itulah, jarang dengar orang Barat popular
merana di usia tua, sebab mereka ada bekalan. Kita pula berlagak tak
tentu pasal dengan red carpet sana sini, tetapi poket kosong. Bila tua,
merana.
Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita muhasabah
diri. Kita hanya makhluk ALLAH. Sepopular mana pun, kita tetap hamba
ALLAH. Kita akan ditanya tentang Tuhan kita, agama kita, amalan kita dan
sumbangan kita. Sejauh manakah sebenarnya kita berkorban?
No comments:
Post a Comment